Sunday, November 2, 2008

KESIDANG


Pokok kesidang atau dikenali juga dengan nama pokok bunga kerak nasi dibahagian utara semenanjung Malaysia atau bunga tikam seladang di pantaiTimur merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Apocynaceae. Ia juga dikenali dengan nama bread flower di Negara-negara barat. Tumbuhan yang dipercayai berasal dari kepulauan Jawa ini merupakan sejenis tumbuhan memanjang dengan batangnya yang kecil tapi berkayu dan keras serta mudah lentur. Sifat batangnya yang mengembang pada bahagian hujungnya menyebabkan ia menjadi pilihan sebagai tanaman untuk menghias junjung atau pergola di taman. Walaupun ia juga boleh sentiasa dipangkas untuk membentuk pohon renek yang merimbun. Kulit batang dan daun kesidang mempunyai getah yang berwarna putih. Pokok kesidang atau nama botaninya vallaris glabra ini ditanam kerana bunganya. Bunganya yang berwarna putih mempunyai saiznya kecil danmenerbitkan bau wangi yang seakan-akan bau daun pandan. Ia juga dipanggil bunga kerak nasi bukan hanya kerana warnanya yang putih dan bentuk jambak bunganya yang seakan-akankerak nasi, tetapi kerana baunya juga. Baunya jika diamati seolah-olah menyerupai bau nasi. Satu kajian dilakukan oleh sebuah Universiti di Chieng Mai Thailand untuk mengenalpasti bau nasi yang terdapat pada bunga kesidang. Bunga yang kecil ini tersusun membentuk jambak bunga. Baunya yang harum semerbak ini menyebabkan ia juga digunakan seagai ramuan untuk membuat bunga rampai setelah dicampur dengan baha-bahan lain seperti daun pandan dan bunga-bunga wangi yang lain. Masyarakat melayu tradisional juga menjadikan bunga kesidang sebagai hiasan rambut anak-anak gadis dan wanita. Ia juga dijadikan hiasan alat-alat istiadat seperti tepak sirih. Bunga kesidang melambangkan tanda hormat bagi masyarakat melayu. Ia juga melambangkan kesopanan dan sikap lemah lembut orang melayu. Kerana itu juga Ia telah dijadikan bunga rasmi bagi Negeri Melaka yang terkenal dengan ketinggian adat istiadat dan budaya. Tambahan pula dengan kehadiran bunga kesidang yang wangi ini taman anda akan sentiasa meriah dengan kunjungan rama-rama dan burung kelicap yang menggemari bunga ini.

No comments: